KUALA LUMPUR, 5 Oktober 2026 – Meta mengakui berlaku kesilapan teknikal pada sistem WhatsApp yang menyebabkan sebahagian aktiviti pengguna sah tersalah dikenal pasti sebagai pelanggaran peraturan, sekali gus mengakibatkan akaun mereka digantung atau dinyahaktifkan. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan bahawa kesilapan teknikal tersebut telah diperbaiki pada penghujung September, manakala akaun sah yang terjejas […]
KUALA LUMPUR, 5 Oktober 2026 – Meta mengakui berlaku kesilapan teknikal pada sistem WhatsApp yang menyebabkan sebahagian aktiviti pengguna sah tersalah dikenal pasti sebagai pelanggaran peraturan, sekali gus mengakibatkan akaun mereka digantung atau dinyahaktifkan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan bahawa kesilapan teknikal tersebut telah diperbaiki pada penghujung September, manakala akaun sah yang terjejas turut dipulihkan secara proaktif, termasuk sebahagian pengguna yang belum membuat rayuan.
Perkembangan itu menyusul selepas Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, meminta MCMC menjelaskan maklum balas Meta berhubung isu akaun WhatsApp yang dilaporkan digodam, digantung atau tidak lagi boleh diakses.
Sebelum itu, MCMC menerima 92 aduan berkaitan isu tersebut dan telah mengemukakan permintaan rasmi kepada Meta pada 25 September, diikuti perbincangan bersama syarikat teknologi itu pada 28 September.
Bukan semua kes berpunca daripada kesilapan sistem
Menurut penjelasan Meta kepada MCMC, tidak semua penggantungan akaun berlaku akibat kesilapan teknikal.
Antara faktor lain yang dikenal pasti termasuk penggunaan nombor telefon yang pernah dikaitkan dengan akaun disekat, aktiviti spam atau scam, serta corak penggunaan yang dikesan oleh sistem keselamatan WhatsApp.
Bagi akaun perniagaan pula, penghantaran mesej secara pukal tanpa persetujuan penerima, khususnya kepada individu yang tidak menyimpan nombor penghantar, juga boleh dikesan sebagai aktiviti spam.
Meta turut memaklumkan bahawa tiada perubahan dibuat terhadap dasar penguatkuasaan atau Terma Perkhidmatan WhatsApp berkaitan isu tersebut.
MCMC mahu proses rayuan lebih jelas
MCMC pada masa sama meminta Meta menambah baik proses rayuan dan pemulihan akaun supaya pengguna menerima pengesahan, status semakan yang lebih jelas serta tindakan yang lebih pantas.
Pengguna yang masih terjejas disarankan menggunakan saluran rayuan dan sokongan rasmi WhatsApp.
MCMC memaklumkan pemantauan terhadap kes yang belum selesai akan diteruskan, dan tindakan kawal selia selanjutnya boleh dipertimbangkan sekiranya langkah penyelesaian Meta didapati tidak mencukupi.
