KUALA LUMPUR – Had pelepasan cukai individu dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000 dalam Belanjawan 2027, sekali gus memberi ruang tambahan kepada pembayar cukai. Menurut Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, had itu tidak disemak sejak 2010. Beliau mengumumkan langkah berkenaan ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat. Kadar cukai pendapatan individu pemastautin […]
KUALA LUMPUR – Had pelepasan cukai individu dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000 dalam Belanjawan 2027, sekali gus memberi ruang tambahan kepada pembayar cukai. Menurut Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, had itu tidak disemak sejak 2010.
Beliau mengumumkan langkah berkenaan ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat. Kadar cukai pendapatan individu pemastautin bagi pendapatan bercukai antara RM70,000 hingga RM100,000 diturunkan kepada 18 peratus, manakala kadar bagi banjaran RM100,000 hingga RM150,000 diturunkan kepada 24 peratus.
Skop pelepasan turut diperluas. Pelepasan perubatan merangkumi penjagaan selepas bersalin serta penjagaan ibu bapa dan datuk nenek bagi semua perbelanjaan penjagaan. Pelepasan sukan pula meliputi pembelian kasut sukan, sementara pelepasan yuran pengajian dan kemahiran diperluas kepada semua bidang pengajian serta tuisyen anak.
Pelepasan gaya hidup turut merangkumi langganan kecerdasan buatan (AI), kos vaksinasi dan pengambilan haiwan peliharaan daripada pusat berdaftar. Pada masa sama, kadar cukai bagi individu berpendapatan melebihi RM1 juta diselaraskan kepada 30 peratus.
Menurut Anwar, peningkatan had pelepasan dan pengurangan kadar cukai itu dijangka memberikan lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,600 kepada kira-kira lima juta pembayar cukai. Pelarasan ini wajar disambut baik kerana mengambil kira pelbagai keperluan isi rumah meliputi daripada pendidikan dan sukan hingga penjagaan keluarga serta memperluas manfaat cukai kepada lebih ramai rakyat.
