KUALA LUMPUR, 28 Oktober 2026 – Subsidi dan bantuan tunai kerajaan perlu disokong dengan latihan kemahiran, peluang pekerjaan serta pembiayaan mikro bagi membantu rakyat meningkatkan pendapatan dan membina kemandirian ekonomi dalam jangka panjang.

Pakar ekonomi, Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kejayaan sesuatu program bantuan tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah peruntukan atau bilangan penerima semata-mata, sebaliknya berdasarkan perubahan sebenar terhadap pendapatan dan taraf hidup mereka.

Pengarah Program MBA Putra Business School itu berkata, program pemerkasaan ekonomi perlu membolehkan penerima memperoleh pekerjaan lebih stabil, meningkatkan pendapatan dan memenuhi keperluan isi rumah tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan.

Bantuan segera perlu seiring usaha tingkat pendapatan

Menurut Ahmed Razman, keberkesanan latihan kemahiran bergantung pada kesesuaiannya dengan keperluan penerima serta permintaan pasaran pekerjaan.

Beliau berkata, kekangan seperti kos pengangkutan, tanggungjawab menjaga anak dan akses kepada peluang pekerjaan juga perlu diambil kira supaya penerima dapat memanfaatkan latihan yang disediakan.

Sehubungan itu, program pemerkasaan perlu disertai bimbingan berterusan bagi memastikan kemahiran yang dipelajari dapat diterjemahkan kepada sumber pendapatan sebenar.

Pendekatan mengimbangi bantuan segera dengan usaha meningkatkan keupayaan ekonomi turut diberi penekanan dalam Belanjawan 2027 menerusi peruntukan RM16 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Selain itu, kerajaan menyediakan RM200 juta bagi Geran SEJAHTERA MADANI serta pembiayaan mikro berjumlah RM6.6 bilion untuk menyokong keperluan pembiayaan dan aktiviti ekonomi.

Kerajaan turut memperuntukkan RM2.62 bilion bagi subsidi dan insentif kepada pesawah untuk membantu mengurangkan kos pengeluaran, meningkatkan produktiviti serta memperkukuh keterjaminan makanan negara.

Sokongan modal penting untuk kemandirian rakyat

Sementara itu, Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata, penyediaan kemahiran dan peralatan sahaja tidak mencukupi sekiranya penerima masih menghadapi kesukaran memenuhi keperluan asas.

Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur itu menjelaskan bahawa penerima bantuan produktif turut memerlukan modal pusingan dan akses kepada pasaran untuk menjana pendapatan.

Sebagai contoh, individu yang menerima mesin jahit masih memerlukan wang untuk membeli kain dan benang serta mendapatkan pelanggan. Tanpa sokongan tersebut, peralatan yang diberikan mungkin tidak dapat digunakan untuk menghasilkan pendapatan.

Menurut beliau, bantuan tunai berperanan sebagai penampan kewangan sementara, manakala latihan kemahiran, bantuan peralatan dan sokongan keusahawanan menyediakan laluan kepada peningkatan pendapatan dalam jangka panjang.

Justeru, keberkesanan dasar kebajikan perlu dinilai berdasarkan perubahan taraf hidup, kestabilan pendapatan dan keupayaan penerima keluar daripada kitaran kemiskinan, bukan sekadar jumlah bantuan yang disalurkan.

Sumber: Bernama, 28 Oktober 2026
Foto: Berita RTM