KUALA LUMPUR, 28 Oktober 2026 – Kerajaan meluluskan hampir 21,700 permohonan pemindahan kelayakan BUDI MADANI Diesel setakat 27 Oktober 2026, termasuk 12,160 permohonan dari Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, mekanisme itu membolehkan pemilik berdaftar kenderaan diesel yang layak memindahkan kelayakan kepada warganegara Malaysia yang mempunyai MyKad sah, layak menerima BUDI95 dan merupakan pengguna sebenar kenderaan berkenaan.
Penambahbaikan yang dilaksanakan sejak 16 September 2026 itu bertujuan membantu pengguna yang menggunakan kenderaan milik ahli keluarga atau majikan, termasuk dalam situasi sambung bayar yang lazim berlaku di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat pada 28 Oktober.
Lebih 291,000 pengguna pikap dan jip terima subsidi tambahan
Menurut Amir Hamzah, lebih 291,000 pengguna kenderaan diesel jenis jip dan pikap di seluruh negara menikmati kelayakan tambahan sebanyak 100 liter diesel bersubsidi sebulan.
Kemudahan itu meningkatkan jumlah kelayakan subsidi bagi penerima yang layak kepada 400 liter sebulan, berbanding kelayakan asas 300 liter.
Langkah berkenaan mengambil kira penggunaan jip dan pikap untuk membawa hasil pertanian, mengangkut barangan perniagaan kecil dan pekerja, selain menjadi pengangkutan utama bagi penduduk di kawasan luar bandar serta pedalaman.
Bagi pemilik yang mempunyai lebih daripada sebuah kenderaan diesel, pemindahan kelayakan boleh dibuat kepada maksimum tiga individu lain, tertakluk pada jumlah kenderaan yang dimiliki dan semakan kelayakan.
SKDS turut diperluas kepada jip dan pikap syarikat
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut memperluas pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kepada jip dan pikap milik persendirian syarikat, termasuk perusahaan kecil, bagi membolehkan kenderaan berkenaan menikmati diesel bersubsidi.
Setakat 26 Oktober 2026, lebih 27,200 kenderaan jip dan pikap telah mendapat kelayakan di bawah SKDS.
Amir Hamzah berkata kerajaan akan terus memantau pelaksanaan BUDI MADANI Diesel berdasarkan data penggunaan, maklum balas pengguna, pandangan kerajaan negeri dan keperluan sektor terlibat.
Penambahbaikan ini bertujuan memastikan subsidi diesel dapat dimanfaatkan oleh pengguna yang benar-benar bergantung pada kenderaan berkenaan untuk kegiatan ekonomi harian, khususnya bagi penduduk di Sabah, Sarawak dan kawasan pedalaman.
Sumber: Bernama, 28 Oktober 2027
Foto: Astro Awani
