SHAH ALAM – Kerajaan memperkukuh usaha melindungi pengguna daripada penipuan dalam talian menerusi pelancaran Parcel Shield, sebuah inisiatif antipenipuan yang memberi tumpuan kepada kegiatan sindiket menggunakan penghantaran bungkusan palsu.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, inisiatif itu melibatkan kerjasama Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Postal Forum serta syarikat kurier.

Parcel Shield dilancarkan sempena sambutan Hari Kurier Negara 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (SITC), Shah Alam, pada Sabtu.

Menurut Fahmi, antara taktik sindiket ialah menghantar mesej yang mendakwa penghantar bungkusan telah tiba tetapi tiada penerima berada di rumah.

Mangsa kemudian diminta menekan pautan tertentu bagi menguruskan penghantaran semula atau mengesahkan maklumat.

Pautan mencurigakan itu boleh digunakan untuk memperdaya pengguna, mencuri maklumat peribadi dan mendapatkan akses kepada akaun kewangan mangsa.

Selain mesej penghantaran palsu, Parcel Shield turut memberi perhatian kepada penipuan pembayaran semasa penghantaran (COD), cubaan pancingan data dan penyamaran sebagai syarikat kurier yang sah.

Melalui Parcel Shield, sebuah kumpulan kerja khusus dikenali sebagai Parcel Shield Working Group (PSWG) diwujudkan bagi menyelaraskan perkongsian maklumat dan amaran awal berkaitan ancaman penipuan.

Kumpulan itu dianggotai 14 organisasi, termasuk Pos Malaysia, J&T Express, DHL eCommerce, GD Express, SPX Express, TikTok Shop dan beberapa penyedia perkhidmatan penghantaran lain.

Maklumat yang dikumpulkan akan digunakan untuk menghasilkan hebahan amaran kepada pengguna mengenai taktik penipuan terkini.

Hebahan tersebut akan disalurkan melalui platform syarikat kurier dan pelbagai saluran komunikasi. Laman web khusus juga dirancang bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat.

Kerajaan turut merancang memperluas kempen kesedaran melalui mesej khidmat awam di radio dan televisyen.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi memaklumkan sebanyak 13,045 kandungan berkaitan penipuan, perjudian dan perkhidmatan tidak dibenarkan dikesan pada platform e-dagang bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Oktober 2026.

Daripada jumlah tersebut, lebih 5,000 kandungan berkaitan penipuan dikenal pasti hasil aduan orang ramai.

Sebanyak 44 kertas siasatan turut dibuka berhubung kandungan yang diminta untuk diturunkan, dengan dua kes telah membawa kepada pendakwaan di mahkamah.

Angka berkenaan merangkumi beberapa kategori kandungan terlarang dan bukan khusus kepada penipuan bungkusan palsu sahaja.

Pelaksanaan Parcel Shield diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman penipuan yang semakin berkembang seiring penggunaan perkhidmatan e-dagang.

Pengguna disarankan supaya menyemak status penghantaran melalui aplikasi atau laman rasmi syarikat kurier dan mengelakkan daripada menekan pautan mencurigakan.

Melalui kerjasama kerajaan, MCMC dan industri penghantaran, inisiatif ini bertujuan membina persekitaran urusan penghantaran yang lebih selamat serta mengurangkan risiko kerugian kewangan akibat penipuan digital.