KUALA LUMPUR, 4 November 2026 – Kerajaan akan meneliti semula dasar pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi peminjam terdahulu yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama, dengan mengambil kira aspek keadilan serta kelestarian pembiayaan pendidikan negara.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata penelitian itu akan dilakukan sebagai sebahagian daripada semakan berterusan terhadap dasar PTPTN bagi memastikan bantuan pendidikan disalurkan secara bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Menurut beliau, sebarang penelitian terhadap pengecualian berkenaan turut mengambil kira dasar pembiayaan pendidikan negara supaya kemudahan pinjaman dapat dikekalkan secara mampan.

Perkara itu dinyatakan ketika beliau menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, semalam.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, membangkitkan kebimbangan peminjam yang membuat pinjaman PTPTN pada 2025 atau sebelumnya berhubung perubahan syarat kelayakan pengecualian bayaran balik.

Beliau mendakwa perubahan berkenaan menimbulkan persoalan mengenai pematuhan terhadap perjanjian pinjaman terdahulu yang memperuntukkan pengecualian kepada peminjam yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan mempertimbangkan supaya pengecualian berkenaan dikekalkan bagi peminjam sedia ada.

Kemudahan Bayaran Balik PTPTN Untuk Ringankan Beban Graduan

Dalam perkembangan sama, Amir Hamzah berkata kerajaan menyediakan kemudahan penangguhan bayaran balik PTPTN kepada peminjam yang mempunyai pendapatan bulanan sehingga RM2,500.

Bagi peminjam berpendapatan antara RM2,501 hingga RM3,000 sebulan pula, bayaran balik minimum ditetapkan sebanyak RM50 sebulan bagi membantu meringankan beban graduan yang baru memasuki alam pekerjaan.

Kerajaan turut menawarkan diskaun 10 peratus kepada peminjam yang mengekalkan rekod pembayaran teratur tanpa tunggakan.

Selain itu, majikan yang membantu melunaskan bayaran balik pinjaman PTPTN pekerja turut layak menikmati potongan cukai bagi tempoh 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2028.

MediAsas Bakal Dilancarkan Tahun Hadapan

Menyentuh aspek perlindungan kesihatan, kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) akan meneliti tatacara operasi syarikat insurans susulan aduan mengenai sekatan pemilihan doktor pakar oleh pemegang polisi hospital swasta.

Langkah itu bertujuan memastikan hak pengguna terus dilindungi, selain mengawal peningkatan kos inflasi perubatan.

Dalam pada itu, produk insurans dan takaful mampu milik, MediAsas, dijangka dilancarkan pada akhir Januari 2027.

Produk berkenaan akan menggunakan kaedah pembayaran berasaskan diagnosis bagi membantu mengawal kos rawatan. Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur bawah 55 tahun juga dibenarkan menggunakan Akaun Sejahtera untuk membayar premium.

Kerajaan turut bersetuju menyediakan subsidi premium tahun pertama sebanyak RM200 bagi setiap pekerja kepada majikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai kurang daripada 75 pekerja, tertakluk kepada had maksimum 50 pekerja bagi setiap syarikat.

Pada persidangan sama, Dewan Rakyat meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan Kementerian Kewangan bagi 2027 berjumlah RM68.16 bilion dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan 27 Ahli Parlimen.

Sumber: Bernama, 4 November 2026
Foto: Sinar Daily