KUALA LUMPUR, 4 November 2026 – Pelaksanaan program pembangunan sosioekonomi di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) menunjukkan perkembangan positif apabila 52 peratus peserta program keusahawanan melaporkan peningkatan pendapatan selepas menyertai inisiatif berkenaan.
Selain itu, sebanyak 77 peratus peserta program Kluster Ekonomi turut melaporkan peluang pekerjaan mereka bertambah baik, sekali gus mencerminkan keberkesanan usaha kerajaan dalam memperkukuh kedudukan ekonomi masyarakat India.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memaklumkan pencapaian itu berdasarkan Kajian Impak Pelaksanaan Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (PPSMI) bagi tempoh 2021 hingga 2023 yang dijalankan oleh Universiti Malaya (UM).
Kajian berkenaan melibatkan seramai 2,100 responden yang merangkumi 135 program di bawah MITRA.
Menurut jawapan bertulis KESUMA di laman sesawang Parlimen, kajian itu mengesahkan dana MITRA memberikan kesan positif terhadap empat dimensi utama pembangunan sosioekonomi, iaitu pendapatan, pekerjaan, keusahawanan dan pendidikan.
Maklumat tersebut diberikan bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan, mengenai keberkesanan dana MITRA dalam meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat India berdasarkan pencapaian sebenar penerima manfaat.
Bantuan MITRA Perkukuh Pendapatan dan Keusahawanan
Dalam aspek kesejahteraan kewangan, sebanyak 46 peratus responden turut melaporkan peningkatan kestabilan kewangan isi rumah secara keseluruhan.
Bagi pembangunan keusahawanan pula, 52 peratus responden Kluster Ekonomi menyatakan kemahiran perniagaan mereka meningkat, manakala 30 peratus melaporkan pertumbuhan perniagaan atau aktiviti keusahawanan secara langsung.
Pencapaian ini menunjukkan program berkenaan bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan peserta, malah turut menyumbang kepada pengukuhan kemahiran dan perkembangan perniagaan.
Bantuan Pendidikan MITRA Beri Impak Positif
Dalam sektor pendidikan, bantuan tunai kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mencatatkan tahap keberkesanan yang tinggi dengan skor min antara 4.48 hingga 4.64 daripada skala lima.
Selain itu, sebanyak 85 peratus peserta program bimbingan akademik melaporkan peningkatan prestasi akademik selepas mengikuti program berkenaan.
KESUMA menegaskan MITRA akan terus komited memacu pembangunan sosioekonomi masyarakat India secara menyeluruh menerusi inisiatif yang memberi tumpuan kepada rantaian pendidikan dan pengukuhan ekonomi, khususnya bagi golongan B40 dan M40.
Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, kerajaan turut memperkukuh usaha berkenaan pada 2026 melalui pelaksanaan beberapa inisiatif bersasar termasuk Program Celik MADANI, Kalvi MADANI, Peranti MADANI dan Program Uyarvu MADANI.
Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperluas peluang pendidikan, meningkatkan kemahiran serta memperkukuh keupayaan ekonomi masyarakat India di Malaysia.
Sumber: Bernama, 4 November 2026
Foto:
