KUALA LUMPUR, 4 November 2026 – Kerajaan sedang merangka Akta Satu Pendidikan Tinggi atau One Higher Education Act (OHEA) bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, dengan memberi penekanan kepada perlindungan kebebasan akademik serta pengukuhan autonomi universiti.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim, berkata akta baharu itu bakal menyediakan status khusus bagi melindungi kebebasan ahli akademik supaya peranan mereka tidak hanya terikat kepada hubungan asas antara majikan dengan pekerja.

Menurut beliau, perlindungan tersebut penting bagi memastikan ahli akademik mendapat pengiktirafan sewajarnya dalam kerangka perundangan baharu pendidikan tinggi negara.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) mengenai tahap autonomi universiti, perlindungan pensyarah daripada tekanan pentadbiran serta mekanisme semak dan imbang terhadap kuasa pengurusan universiti di Dewan Rakyat hari ini.

Mekanisme Bebas Perkukuh Tadbir Urus Universiti

Adam Adli berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut meneliti kemungkinan mewujudkan majlis atau panel bebas bagi menyemak aspek pelantikan, keputusan pentadbiran dan pengoperasian universiti.

Mekanisme berkenaan juga sedang dikaji untuk merangkumi pengurusan kakitangan, penawaran kursus dan program serta kerjasama strategik universiti bagi memastikan standard kebebasan akademik dapat diperkukuh.

Dalam usaha itu, tujuh akta termasuk Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 atau Akta 605 sedang dikaji untuk kemungkinan dirangkumkan di bawah OHEA.

Pemansuhan AUKU Dilaksanakan Secara Berfasa

Menjawab soalan asal Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengenai kemungkinan wujud kelompangan perundangan selepas pemansuhan AUKU, Adam Adli berkata proses berkenaan akan dilaksanakan secara terancang dan berfasa.

Langkah itu bertujuan mengelakkan ketidakpastian perundangan yang boleh menjejaskan tadbir urus serta pengoperasian universiti awam.

Beliau menjelaskan bahawa AUKU yang menjadi antara asas utama perundangan pendidikan tinggi negara sejak lebih lima dekad lalu mengandungi 44 seksyen.

Daripada jumlah itu, 32 seksyen berkaitan tadbir urus termasuk tanggungjawab menteri, ketua pengarah, penubuhan dan perlembagaan universiti.

Hanya tujuh seksyen atau 16 peratus menyentuh hal ehwal mahasiswa, aktiviti persatuan, tanggungan dan tatatertib, manakala satu seksyen berkaitan kakitangan serta empat seksyen lagi menyentuh perkara lain.

Hak Mahasiswa dan Kebebasan Bersuara Diberi Penekanan

Dalam perkembangan sama, kerajaan memberi jaminan bahawa kerangka baharu pendidikan tinggi akan turut memperkukuh hak mahasiswa untuk bersuara, menyatakan pandangan dan mengkritik dasar kerajaan.

Adam Adli berkata proses konsultasi bersama mahasiswa, ahli akademik dan pakar perundangan sedang dijalankan sebelum diperluas kepada Ahli Parlimen serta pihak berkepentingan lain.

Beliau turut memaklumkan bahawa kementerian telah mengambil langkah segera berkuat kuasa 27 Ogos lalu dengan menghentikan semua prosiding tatatertib berkaitan kebebasan bersuara, pernyataan pandangan, kritikan awam dan perhimpunan aman di semua universiti awam.

Usaha penggubalan OHEA itu diharap dapat membentuk sistem pendidikan tinggi yang lebih autonomi, telus dan terbuka, di samping memastikan kebebasan akademik serta hak mahasiswa terus dilindungi.

Sumber: Bernama, 4 November 2026
Foto: Malay Mail