KUALA LUMPUR, 4 November 2026 – Budaya membaca dalam kalangan generasi muda semakin terhakis susulan kemunculan penggunaan gajet yang mewujudkan fenomena scrolling generation, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Beliau berkata amalan membaca tidak seharusnya dianggap sebagai hobi semata-mata, sebaliknya perlu dijadikan sebahagian daripada rutin kehidupan bagi melahirkan generasi berilmu pada masa hadapan.
Menurutnya, fenomena scrolling generation yang merujuk kepada generasi yang banyak menghabiskan masa menatal kandungan digital turut menimbulkan kebimbangan terhadap perkembangan budaya membaca.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan HIPMaX Malaysian Folklore Storyfest: Folktales Reimagined Grand Finale Showcase 2026 di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), di sini, pada 4 November.
Fadhlina turut menyentuh buku The New Dark Ages yang mendapat perhatian ramai, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana menggambarkan kebimbangan terhadap kemunculan generasi yang semakin bergantung kepada kandungan digital.
KPM Perkasa Budaya Membaca Dalam Kalangan Pelajar
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan terus memberikan penekanan terhadap usaha membudayakan amalan membaca dalam kalangan rakyat, khususnya pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM), usaha berkenaan dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi murid prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah menerusi program Jom Baca Bersama 10 Minit.
Program itu merupakan antara inisiatif untuk membiasakan murid dengan aktiviti membaca serta menjadikan amalan tersebut sebahagian daripada kehidupan seharian.
Cerita Rakyat Dekatkan Murid Dengan Warisan Negara
Fadhlina turut berharap penganjuran HIPMaX Malaysian Folklore Storyfest dapat terus menyemarakkan minat membaca dalam kalangan murid.
Menurutnya, penganjuran program seumpama itu juga penting dalam memperkenalkan cerita rakyat yang mencerminkan sejarah, budaya dan jati diri negara kepada generasi muda.
Melalui pendekatan penceritaan yang kreatif, murid bukan sahaja dapat meningkatkan minat terhadap bahan bacaan, malah berpeluang mengenali warisan budaya negara dengan lebih dekat.
Usaha membudayakan membaca perlu terus diperkukuh bagi memastikan generasi muda tidak hanya terdedah kepada kandungan digital, tetapi turut memiliki ilmu pengetahuan, pemikiran kritis dan penghargaan terhadap warisan bangsa.
Sumber: Bernama, 4 November 2026
Foto: Utusan Malaysia
