PUTRAJAYA, 4 November 2026 – Kerajaan MADANI menyalurkan RM1.1 bilion menerusi STR Fasa 4 kepada 5.4 juta penerima di seluruh negara. Bantuan ini bertujuan meringankan beban perbelanjaan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan pembayaran kepada penerima sedia ada dibuat secara berperingkat. Penyaluran bermula pada 4 hingga 6 November 2026.

Sementara itu, penerima baharu dan pemohon rayuan yang diluluskan akan menerima bayaran mulai 16 November ini.

Daripada jumlah keseluruhan penerima, empat juta merupakan isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah. Manakala, 1.4 juta lagi terdiri daripada warga emas tiada pasangan.

Mengikut kategori kelayakan, isi rumah berpendapatan RM2,500 dan ke bawah menerima bantuan antara RM150 hingga RM500. Bagi isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM5,000, bayaran yang disediakan adalah sehingga RM250. Sementara itu, warga emas tiada pasangan menerima RM150.

Pembayaran STR Fasa 4 2026 Melalui Akaun Bank dan BSN

Menurut MOF, penerima yang mempunyai akaun bank akan menerima bayaran secara kredit terus. Wang bantuan akan dimasukkan ke akaun masing-masing.

Bagi penerima tanpa akaun bank, tuntutan tunai boleh dibuat di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Dalam pada itu, seramai 1.68 juta penerima telah diberikan peringatan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS). Mereka terdiri daripada penerima yang tidak mengemas kini maklumat permohonan selama tiga tahun berturut-turut.

Sehubungan itu, penerima berkenaan disaran mengemas kini maklumat melalui portal rasmi STR. Langkah ini membolehkan kelayakan mereka disemak semula bagi tahun 2027.

Peruntukan STR dan SARA 2026 Cecah RM15 Bilion

Secara keseluruhan, peruntukan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi tahun 2026 berjumlah RM15 bilion. Peruntukan ini memperkukuh usaha kerajaan menyediakan bantuan bersasar kepada golongan yang memerlukan.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan tersebut diharap dapat membantu penerima mengurus keperluan harian. Ini termasuk perbelanjaan menjelang akhir tahun.

Orang ramai boleh menyemak status dan mendapatkan maklumat lanjut menerusi portal rasmi STR.

Selain itu, MOF mengingatkan penerima supaya berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan. Orang ramai dinasihatkan menggunakan saluran rasmi sahaja bagi mendapatkan maklumat berkaitan bantuan berkenaan.

Sumber: Bernama, 4 November 2026
Foto: Sinar Harian