KUALA LUMPUR, 19 November 2026 – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meluluskan pembiayaan berjumlah RM12.15 bilion setakat Oktober 2026, bersamaan 81 peratus daripada sasaran RM15 bilion bagi tahun ini.
Pembiayaan itu telah memberi manfaat kepada seramai 313,912 usahawan dan koperasi di seluruh negara, termasuk 52,299 usahawan baharu yang pertama kali mendapat akses kepada kemudahan pembiayaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, pencapaian itu menunjukkan komitmen kementerian dalam memperluas akses pembiayaan serta menyokong perkembangan perusahaan dan aktiviti keusahawanan negara.
Menurut beliau, Bank Rakyat mencatatkan jumlah pembiayaan tertinggi sebanyak RM4.8 bilion, diikuti SME Bank sebanyak RM3.49 bilion dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebanyak RM2.55 bilion.
Agensi lain yang turut menyalurkan pembiayaan ialah TEKUN Nasional sebanyak RM1.13 bilion, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (RM93.23 juta), SME Corp Malaysia (RM79.3 juta) dan Pusat Khidmat Kontraktor (RM5.62 juta).
RM4.02 Bilion Pembiayaan Mikro Disalurkan
Dalam usaha membantu usahawan berskala kecil, KUSKOP turut memberi tumpuan kepada pembiayaan mikro yang lebih mudah diakses.
Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026, sebanyak RM4.02 bilion pembiayaan mikro telah disalurkan kepada 310,497 usahawan mikro melalui agensi pembiayaan berkaitan.
Mohamad berkata demikian ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat berhubung perincian sasaran pembiayaan RM15 bilion, agensi pelaksana serta jumlah usahawan baharu yang menerima manfaat.
Proses Kelulusan Pembiayaan Dipermudah
Dalam perkembangan sama, KUSKOP turut mengambil langkah mempercepatkan proses permohonan pembiayaan dengan memendekkan tempoh pemprosesan dan mengurangkan karenah birokrasi di agensi pembiaya.
Antaranya, TEKUN Nasional memendekkan tempoh kelulusan daripada 10 hari kepada lima hari bekerja dengan hanya empat dokumen diperlukan. Permohonan dalam talian bagi pembiayaan di bawah RM20,000 pula boleh diproses dan diluluskan dalam tempoh 24 jam.
Bank Rakyat turut memendekkan tempoh kelulusan pembiayaan mikro kepada enam hari, manakala pembiayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengambil masa sehingga 14 hari.
SME Bank pula mengurangkan tempoh pemprosesan daripada 30 hari kepada 14 hari bekerja, sementara SME Corp Malaysia memendekkannya daripada 21 hari kepada tujuh hari bekerja.
Usaha ini diharap dapat memudahkan lebih ramai usahawan, khususnya golongan mikro dan penjaja kecil, mendapatkan akses modal bagi mengembangkan perniagaan serta meningkatkan pendapat
Sumber: Bernama, 19 November 2026
Foto: Berita RTM
