KUALA TERENGGANU, 24 Oktober 2026 – Seramai 4.63 juta rakyat telah mendapat manfaat daripada 3,344 siri Jualan Agro MADANI anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 11 Oktober 2026.

Ketua Pengarah FAMA, Faisal Iswardi Ismail berkata, pelaksanaan program itu melibatkan 54,124 usahawan dengan nilai jualan keseluruhan RM77.65 juta, selain menjana penjimatan sebanyak RM24.72 juta kepada pengguna.

Menurut beliau, pencapaian tersebut membuktikan keberkesanan Jualan Agro MADANI sebagai platform untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup, memperkukuh keterjaminan makanan dan menyediakan peluang pasaran tambahan kepada usahawan tempatan.

Beliau berkata demikian pada sidang media Jualan Agro MADANI Mega Negeri Terengganu 2026 di Dataran Shahbandar, di sini, hari ini.

Jualan Harga Berpatutan Bantu Kurangkan Beban Rakyat

Faisal Iswardi berkata, FAMA menyasarkan sebanyak 5,000 siri Jualan Agro MADANI dilaksanakan sepanjang 2026, dengan pengguna berpeluang menikmati penjimatan antara 10 hingga 30 peratus bagi barangan terpilih.

Beliau yakin sasaran itu dapat dicapai sebelum akhir Disember ini menerusi penganjuran program jualan di seluruh negara.

Sementara itu, Jualan Agro MADANI Mega Terengganu yang berlangsung dari 21 hingga 25 Oktober mencatatkan nilai jualan melebihi RM800,000 dalam tempoh tiga hari, mengatasi sasaran RM690,000 bagi keseluruhan lima hari penganjuran.

Nilai jualan itu dijangka mencecah RM1.3 juta menjelang tamat program, dengan sasaran kehadiran melebihi 50,000 pengunjung.

FAMA turut menetapkan 10 lokasi bagi penganjuran Jualan Agro MADANI Mega tahun ini. Selepas Terengganu, program berkenaan dijadualkan berlangsung di Melaka pada 6 hingga 8 November, diikuti Sarawak pada 27 hingga 29 November serta Johor pada tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Bekalan Telur Diperkukuh, Pengguna Nikmati Penjimatan

Dalam usaha memastikan bekalan makanan pada harga lebih berpatutan, Faisal Iswardi berkata FAMA telah melaksanakan pembelian sebanyak 35 juta biji telur ayam bernilai RM13.4 juta bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026.

Bekalan itu akan diedarkan menerusi 152 outlet pemasaran FAMA bagi membantu pengguna mendapatkan telur pada harga yang lebih berpatutan.

Manfaat program turut dirasai pengunjung yang mengambil peluang membeli barangan keperluan harian pada harga lebih rendah berbanding harga biasa.

Seorang pengunjung, Shujairah Musa, 44, dari Kampung Seberang Marang berkata, beliau mampu menjimatkan antara 20 hingga 30 peratus perbelanjaan menerusi tawaran harga berpatutan dan baucar bakul makanan bernilai RM5.

Seorang pesara kerajaan, Ghazali Long, 72, dari Gong Badak pula menyifatkan program itu sebagai peluang untuk mendapatkan barangan dapur serta buah-buahan segar pada harga berpatutan.

Secara keseluruhan, Jualan Agro MADANI terus menjadi antara inisiatif kerajaan bagi membantu mengurangkan perbelanjaan isi rumah, memperluas akses kepada bekalan makanan dan menyokong pertumbuhan usahawan agromakanan tempatan.

Sumber: Bernama, 24 Oktober 2026
Foto: Astro Awani