PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan geran berjumlah RM24,000 bagi melaksanakan tiga projek rintis terpilih menerusi Inisiatif Geran Projek Rintis Bandar Masa Hadapan MUF.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, inisiatif itu bertujuan menterjemahkan idea inovatif serta aspirasi masyarakat kepada projek praktikal yang memenuhi keperluan komuniti setempat.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan diumumkan sempena Malaysia Urban Forum 2026 (MUF2026) Accelerator bagi membuka peluang kepada penduduk, golongan belia dan kanak-kanak untuk terlibat secara langsung dalam pembangunan bandar masa hadapan.
KPKT menerusi agensinya, URBANICE Malaysia, memperuntukkan geran tersebut kepada tiga kategori kumpulan yang idea projeknya dipilih untuk dilaksanakan.
Daripada jumlah keseluruhan RM24,000, sebanyak RM10,000 diperuntukkan kepada kumpulan akar umbi, RM10,000 kepada kumpulan belia dan RM4,000 kepada kumpulan kanak-kanak.
Pelaksanaan projek dijangka berlangsung dari November 2026 hingga April 2027, tertakluk kepada proses penilaian dan kelulusan berkaitan.
Nga berkata, kejayaan pembangunan bandar bukan hanya bergantung pada perancangan dan perbincangan, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan pelaksanaan idea yang mampu membawa perubahan bermakna kepada masyarakat.
Inisiatif Geran Projek Rintis Bandar Masa Hadapan MUF memberi tumpuan kepada penyelesaian yang berpotensi meningkatkan kualiti persekitaran bandar, kemudahan awam, kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan penduduk.
Menurut Nga Kor Ming, kira-kira 76 peratus rakyat Malaysia kini menetap di kawasan bandar, manakala kadar pembandaran negara diunjurkan meningkat kepada 85 peratus menjelang 2040.
Perkembangan ini memerlukan perancangan bandar yang menyeluruh supaya pembangunan fizikal turut disokong oleh infrastruktur berkualiti, persekitaran selamat dan kemudahan awam yang sesuai dengan keperluan masyarakat.
Menerusi inisiatif ini, URBANICE Malaysia akan bertindak sebagai pemudah cara, penyelaras dan pemantau pelaksanaan projek bersama pihak berkepentingan.
Keberkesanan projek yang dipilih kelak boleh menjadi asas untuk menilai potensi peluasan inisiatif seumpamanya ke kawasan bandar lain.
Sumber: BERNAMA
