PUTRAJAYA, 3 November 2026 – Sebuah pertanyaan ringkas seperti “Dah makan?” mungkin kedengaran biasa, namun mampu membawa makna besar dalam menyemai kasih sayang, keprihatinan dan perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum.
Mesej tersebut diketengahkan menerusi filem pendek sempena sambutan Deepavali 2026 terbitan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) berjudul “Cahaya Yang Menyatukan Kita”, yang mengangkat nilai kekeluargaan, persahabatan dan kasih sayang tanpa mengira latar belakang.
Filem pendek itu mengisahkan Aunty Rajeswary, seorang petugas pembersihan di sebuah kondominium yang sentiasa mengambil berat tentang penghuni, khususnya empat anak muda iaitu Danish, Kyle, Arif dan Hakim.
Di sebalik sikapnya yang ceria dan sering bertanyakan khabar, Aunty Rajeswary sebenarnya menyimpan kisah kehidupan yang dipenuhi kerinduan dan kesunyian.
Interaksi antara mereka turut mencetuskan pelbagai situasi lucu dan mencuit hati, sekali gus menjadikan penceritaan lebih santai sebelum membawa penonton menghayati mesej kemanusiaan yang menyentuh perasaan.
Lebih daripada sekadar hiburan, filem ini mengingatkan masyarakat bahawa keprihatinan tidak semestinya ditunjukkan melalui pemberian besar. Sebaliknya, tindakan sederhana seperti bertanya khabar, berkongsi makanan dan membantu jiran juga mampu memberikan makna besar dalam kehidupan seseorang.

Perpaduan bermula daripada keprihatinan
Keistimewaan filem ini turut terserlah melalui paparan budaya masyarakat India menerusi elemen tradisi Deepavali seperti hiasan kolam, pelita, toranai dan juadah tradisional yang memperlihatkan keunikan kepelbagaian budaya di Malaysia.
Pendekatan penceritaan yang menggabungkan humor dan emosi itu turut membawa penonton memahami erti kasih sayang, kehilangan serta kepentingan menerima kehadiran insan lain dalam kehidupan.
Penerbitan ini mencerminkan usaha KPN menggunakan pendekatan komunikasi kreatif bagi menyampaikan mesej perpaduan secara lebih santai dan dekat dengan masyarakat, khususnya generasi muda.
Ia juga selari dengan aspirasi kementerian untuk memperkukuh nilai Faham, Hormat, Terima dan Meraikan sebagai asas pembentukan masyarakat yang saling memahami serta menghargai kepelbagaian.
Orang ramai berpeluang menyaksikan filem pendek “Cahaya Yang Menyatukan Kita” menerusi BERNAMA pada 4 hingga 11 November, RTM pada 5 hingga 10 November dan TVS pada 5 hingga 10 November 2026.
Filem cetusan idea Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang itu turut boleh ditonton menerusi platform media sosial rasmi beliau, iaitu Instagram @aaronagodagang dan Facebook Aaron Ago Dagang.
Menerusi karya ini, masyarakat diingatkan bahawa perpaduan tidak semestinya bermula dengan sesuatu yang besar, sebaliknya boleh tercipta melalui keikhlasan, kasih sayang dan kesediaan untuk menerima antara satu sama lain.
Kerana cahaya paling bermakna bukan sekadar menerangi rumah ketika perayaan, tetapi cahaya kasih sayang yang mampu menerangi kehidupan orang lain.
Selamat Hari Deepavali 2026!
