KUALA LUMPUR, 3 November 2026 – Wakaf MARA MADANI menyalurkan sumbangan bernilai RM50,000 kepada Hospital Tunku Azizah (HTA) menerusi program Wakaf Prihatin: Sentuhan Kasih bagi menyokong pelaksanaan inisiatif Hospital Mesra Ibadah (HMI).
Sumbangan tersebut bertujuan menyediakan kemudahan ibadah yang lebih selesa dan bersesuaian untuk pesakit serta penjaga, khususnya mereka yang berdepan keterbatasan pergerakan atau keadaan kesihatan yang menyukarkan pelaksanaan ibadah seperti biasa.
Antara kelengkapan yang disumbangkan ialah 24 troli ibadah, 60 sejadah, 60 telekung, 100 set debu tayamum, 30 unit kain pelekat dan kerusi lipat, 1,000 seluar bersalin, 50 naskhah al-Quran, 100 naskhah Yasin serta 73 penunjuk arah kiblat.
Penyediaan kemudahan itu diharap dapat membantu pesakit menunaikan tanggungjawab agama dengan lebih mudah sepanjang menjalani rawatan di hospital.
Selain kemudahan ibadah, sumbangan seluar bersalin turut memberi perhatian kepada keperluan pesakit wanita, sekali gus mencerminkan pendekatan kebajikan yang mengambil kira aspek keselesaan, maruah dan kesejahteraan pesakit.

Wakaf bantu perkukuh kesejahteraan masyarakat
Program tersebut turut melibatkan kerjasama pihak pengurusan HTA yang diwakili Pengarah Hospital Tunku Azizah, Dr. Shamsul Anuar Kamarudin, menerusi ucapan alu-aluan.
Majlis turut diserikan dengan Bicara Wakaf dan Tausiah oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Tuan Ahmad Fauwaz bin Ali @ Fadzil, yang menyampaikan pengisian berkaitan kepentingan wakaf dalam pembangunan kesejahteraan masyarakat.
Pengarah Kanan Pelaburan MARA, Puan Lailatul Asmah Mohd Tahir berkata, wakaf bukan sekadar sumbangan kebajikan, sebaliknya merupakan instrumen pembangunan sosial yang mampu memberikan manfaat secara berterusan berdasarkan keperluan sebenar golongan sasaran.
MARA selaku mutawalli atau pentadbir wakaf yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan bertanggungjawab memastikan dana wakaf diurus secara telus, dipelihara dengan baik dan manfaatnya disalurkan secara bertanggungjawab.
Kerjasama strategik bersama HTA turut memperlihatkan kepentingan penggemblengan sumber dan kepakaran antara institusi bagi memenuhi keperluan masyarakat, selain membuka peluang memperluas manfaat wakaf kepada lebih banyak golongan yang memerlukan.
Menerusi program Wakaf Prihatin: Sentuhan Kasih, Wakaf MARA MADANI terus memperkukuh peranan wakaf sebagai instrumen pembangunan sosial yang bukan sahaja menyantuni keperluan masyarakat, malah membantu meningkatkan kesejahteraan dan kualiti kehidupan.
Inisiatif ini membuktikan bahawa wakaf mampu membawa manfaat yang lebih luas apabila diurus secara terancang dan disalurkan berdasarkan keperluan sebenar masyarakat.
Wakaf bukan sekadar memberi, tetapi usaha meninggalkan manfaat yang berpanjangan untuk kesejahteraan bersama.
