KUALA LUMPUR, 5 Oktober 2026 – Arkib Negara Malaysia (ANM) sedang membangunkan sistem pengurusan rekod dan arkib digital baharu yang mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI), sebagai sebahagian usaha memodenkan pengurusan serta akses kepada khazanah sejarah negara. Sistem dikenali sebagai Digital Records and Archival Management System (D-ReAMS) itu melibatkan peruntukan sebanyak RM32 juta dan dijangka dilancarkan […]
KUALA LUMPUR, 5 Oktober 2026 – Arkib Negara Malaysia (ANM) sedang membangunkan sistem pengurusan rekod dan arkib digital baharu yang mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI), sebagai sebahagian usaha memodenkan pengurusan serta akses kepada khazanah sejarah negara.
Sistem dikenali sebagai Digital Records and Archival Management System (D-ReAMS) itu melibatkan peruntukan sebanyak RM32 juta dan dijangka dilancarkan pada 2028.
Menurut Ketua Pengarah Arkib Negara, Zaidin Mohd Noor, antara fungsi AI yang dirancang termasuk membantu proses pemulihan bahan arkib lama serta penggunaan teknologi computer vision bagi mengenal pasti objek, bangunan atau elemen tertentu dalam gambar dan peta.
Langkah berkenaan dijangka membantu pegawai arkib memproses dan mengurus jumlah bahan yang besar dengan lebih cekap, di samping memudahkan carian oleh pengguna.
Chatbot Aina bantu carian bahan arkib
Satu lagi komponen yang sedang dibangunkan ialah chatbot AI dikenali sebagai Aina, singkatan kepada Artificial Intelligence National Archives.
Aina dijangka membantu menjawab pertanyaan pengguna serta mencari bahan arkib berdasarkan konteks dan maksud carian, bukan hanya bergantung kepada kata kunci. Chatbot tersebut turut disasarkan untuk diperkenalkan pada 2028. The Star
Arkib Negara sebelum ini menjelaskan bahawa D-ReAMS akan menjadi sistem teras bersepadu yang menggabungkan dan menambah baik beberapa sistem sedia ada termasuk COMPASS, Archival Management System (AMS), Media Asset Management System (MAMS), Online Finding Aid (OFA) serta Malaysia Government Web Archive (MyGWA).
Bahan asal tetap dipelihara
Walaupun penggunaan AI diperluaskan, Arkib Negara menegaskan bahawa bahan asal tetap akan dipelihara tanpa perubahan.
Sebarang hasil yang dijana menggunakan AI juga perlu melalui proses pengesahan pegawai sebelum diterima sebagai bahan rujukan atau dibuka kepada pengguna. Pendekatan ini bertujuan memastikan ketulenan, integriti dan nilai bukti sesuatu rekod arkib terus terpelihara.
Pembangunan D-ReAMS juga selari dengan usaha kerajaan memperkukuh pendigitalan perkhidmatan arkib serta memudahkan masyarakat, termasuk generasi muda, mengakses bahan sejarah dan warisan negara melalui platform digital.
Sumber : The Star
