KUALA LUMPUR, 26 Oktober 2026 – Perlindungan data lokasi perlu diberi keutamaan kerana maklumat berkenaan bukan sekadar merekodkan perjalanan, malah berpotensi mendedahkan corak pergerakan individu, khususnya penjawat awam dan pemimpin negara.

Penolong Naib Canselor Kolej Sastera dan Sains (CAS) merangkap Dekan Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Osman Ghazali berkata, larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze bagi urusan rasmi penjawat awam merupakan langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko pendedahan maklumat sensitif.

Menurut beliau, data lokasi perlu dianggap sebagai maklumat sensitif dalam konteks keselamatan siber kerana pendedahannya boleh menimbulkan risiko terhadap privasi individu dan keselamatan negara.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran dalam program Fokus 15 bertajuk Aplikasi Navigasi: Selamatkah Data Kita? terbitan Bernama TV, hari ini.

Pengguna Perlu Lebih Berhati-hati Dengan Data Lokasi

Osman berkata pendekatan pencegahan perlu diutamakan dalam pengurusan risiko keselamatan siber bagi mengelakkan maklumat sensitif terdedah kepada ancaman, berbanding hanya mengambil tindakan selepas berlakunya pencerobohan atau kebocoran data.

Beliau menjelaskan bahawa larangan berkenaan terpakai kepada penjawat awam ketika menjalankan urusan rasmi, manakala orang awam masih bebas memilih aplikasi navigasi untuk kegunaan peribadi.

Sehubungan itu, pengguna disaran menyemak tetapan privasi telefon pintar, khususnya kebenaran akses lokasi yang diberikan kepada setiap aplikasi.

Antara langkah yang boleh diambil ialah menukar kebenaran lokasi daripada “Always Allow” kepada “Only While Using the App” supaya aplikasi hanya mengakses lokasi ketika sedang digunakan.

Pengguna juga perlu memahami bahawa ciri Invisible Mode dalam aplikasi navigasi tidak semestinya menghentikan pengumpulan data pergerakan oleh penyedia aplikasi, sebaliknya hanya menyembunyikan ikon kenderaan daripada pengguna lain pada peta awam.

Selain itu, sejarah carian dan perjalanan wajar dipadamkan secara berkala, pautan akaun media sosial yang tidak diperlukan diputuskan dan sistem operasi peranti dikemas kini bagi meningkatkan perlindungan data peribadi.

Aplikasi TuJu Perlu Tawarkan Perkhidmatan Berdaya Saing

Mengulas potensi aplikasi navigasi tempatan seperti TuJu, Osman berkata pembangunan aplikasi berkenaan berupaya membantu memperkukuh kedaulatan digital negara, namun penerimaannya bergantung pada kemampuan menyediakan perkhidmatan yang setanding dengan platform sedia ada.

Menurut beliau, aplikasi tempatan bukan sahaja perlu menawarkan navigasi yang tepat, malah mesti mampu menyediakan maklumat trafik masa nyata, beroperasi secara stabil dan melindungi data pengguna.

Beliau turut mencadangkan agar aplikasi navigasi tempatan dilengkapi ciri yang memenuhi keperluan pengguna di Malaysia, termasuk maklumat trafik lebuh raya, plaza tol, kawasan rehat dan rawat (R&R), lokasi stesen pengecas kenderaan elektrik (EV), amaran banjir serta butang bantuan kecemasan.

Dari aspek keselamatan, perlindungan data perlu diperkukuh melalui penggunaan penyulitan yang kukuh, pengurusan penyimpanan data secara selamat dan pematuhan terhadap undang-undang berkaitan.

Osman berkata, penambahbaikan teknologi, penglibatan pakar tempatan dan maklum balas pengguna penting bagi meningkatkan prestasi aplikasi serta keyakinan orang ramai terhadap penyelesaian digital tempatan.

Keselamatan Data Jadi Keutamaan Kerajaan

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan supaya penggunaan aplikasi navigasi Waze dilarang bagi seluruh penjawat awam.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan memaklumkan bahawa langkah itu bertujuan melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel.

Langkah berkenaan turut menekankan kepentingan keselamatan data dalam penggunaan teknologi digital, khususnya bagi urusan rasmi kerajaan.

Dalam perkembangan teknologi yang semakin pesat, kesedaran pengguna terhadap privasi dan keselamatan maklumat serta pembangunan aplikasi tempatan yang selamat dan berdaya saing penting bagi menyokong usaha memperkukuh kedaulatan digital negara.

Sumber: Bernama, 26 Oktober 2026
Foto: Utusan Sarawak