KUALA LUMPUR, 4 November 2026 – Sebanyak RM813.8 juta atau 38.4 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan Kementerian Ekonomi menerusi Belanjawan 2027 akan disalurkan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata peruntukan itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan perbelanjaan pembangunan kementerian berjumlah RM2.12 bilion, selaras dengan pendekatan berteraskan rakyat yang diberi penekanan dalam Belanjawan 2027.
Menurutnya, pelaksanaan inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur komuniti, peluang meningkatkan pendapatan, pembangunan modal insan serta keusahawanan.
Beliau berkata pertumbuhan ekonomi negara perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, perniagaan dan mobiliti ekonomi yang lebih luas untuk rakyat, bukan sekadar tertumpu kepada angka pertumbuhan dan pelaburan.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 bagi Kementerian Ekonomi di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, pada 4 November.
RM805.2 Juta Untuk Enam Negeri Kurang Membangun
Dalam perkembangan sama, Akmal Nasrullah berkata sebanyak RM805.2 juta turut diperuntukkan kepada enam negeri kurang membangun bagi memperluas peluang ekonomi serta merangsang pertumbuhan yang lebih seimbang antara wilayah.
Beliau berkata keseluruhan peruntukan pembangunan kementerian meningkat sebanyak 11.9 peratus berbanding 2026, melibatkan 131 projek yang terdiri daripada 41 projek baharu dan 90 projek sambungan.
Peningkatan itu mencerminkan usaha kerajaan memperkukuh pembangunan negara melalui pelaksanaan projek yang merangkumi pelbagai sektor dan kawasan.
Perkukuh Pengumpulan Data dan Kajian Sosioekonomi
Menyentuh peruntukan kepada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), beliau berkata peningkatan perbelanjaan bagi 2027 didorong oleh kos operasi serta pelaksanaan aktiviti statistik berskala lebih besar.
Antaranya termasuk analisis dapatan Banci Ekonomi 2026 dan pelaksanaan Kajian Pendapatan Isi Rumah (Household Income Survey) yang dijangka bermula tahun depan.
Kementerian turut merancang beberapa kajian baharu termasuk analitik data raya bagi analisis spatial, mobiliti dan sosioekonomi, Malaysia Happiness Survey, Time Use Survey 2027 serta penetapan semula tahun asas statistik tenaga buruh dan guna tenaga.
Keseluruhan inisiatif kajian berkenaan melibatkan siling peruntukan sebanyak RM5.97 juta.
Dalam pada itu, Dewan Rakyat meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan Kementerian Ekonomi bagi 2027 berjumlah RM2,764,365,500 dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan oleh 17 Ahli Parlimen.
Sumber: Bernama, 4 November 2026
Foto: Astro Awani
