KUALA LUMPUR, 25 November 2026 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa hak penduduk asal akan terus dilindungi menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA).

Beliau berkata, undang-undang itu penting untuk membolehkan kawasan perumahan daif, terutama di Kuala Lumpur, dibangunkan semula.

Sebelum ini, usaha tersebut sukar dilaksanakan kerana kerajaan perlu mendapatkan persetujuan 100 peratus penghuni.

Namun, kerajaan kini menetapkan syarat persetujuan antara 70 hingga 80 peratus. Pada masa sama, hak penduduk yang tidak bersetuju tetap akan dilindungi.

“Kalau kita tetapkan 70 peratus, 80 peratus, tetapi dengan memberi jaminan kepada yang tidak bersetuju tapi masih bagi hak kepada mereka. Itu yang kita putuskan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program khas Dialog Negara terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertemakan Di Sebalik Keputusan yang disiarkan secara langsung malam tadi.

Pembangunan Semula Beri Kediaman Lebih Selesa

Anwar berkata, kawasan perumahan daif perlu dibangunkan semula supaya penduduk dapat menikmati tempat tinggal yang lebih baik.

Selain itu, kerajaan sedang membangunkan beberapa kawasan dan tanah baharu di Kuala Lumpur serta bandar-bandar besar menerusi konsep pembangunan MADANI.

Menurut beliau, beberapa projek perumahan baharu dijangka dilancarkan sekitar Disember atau Januari. Projek berkenaan mengambil masa kira-kira dua hingga tiga tahun untuk disiapkan.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kediaman baharu itu akan lebih selesa untuk didiami.

Pada masa sama, kerajaan tidak akan berkompromi dengan pemaju yang gagal memenuhi syarat pihak berkuasa tempatan sebelum perjanjian ditandatangani.

Langkah itu penting bagi mengelakkan projek perumahan terbengkalai seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Hak Melayu Dan Bumiputera Terus Dijaga

Sementara itu, Anwar menolak dakwaan bahawa RUU berkenaan bertujuan memberi kuasa kepada kaum tertentu untuk menguasai kawasan perumahan.

Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa Kerajaan MADANI tetap komited menjaga kepentingan orang Melayu dan Bumiputera.

Beliau turut menyentuh pengesahan 50 ekar tanah di Kuala Lumpur sebagai tanah rizab Melayu. Menurutnya, perkara itu belum pernah berlaku sebelum ini.

Justeru, kerajaan mahu memastikan pembangunan semula bandar berjalan dengan baik tanpa mengetepikan hak penduduk asal.

Sumber: Bernama, 25 November 2026
Foto: FMT