KUALA LUMPUR, 18 November 2026 – Pengurusan artis Zarif Ghazzi tampil mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menafikan dakwaan salah laku yang dikaitkan dengan penyanyi berkenaan, susulan isu yang sedang diperkatakan dalam kalangan masyarakat.
Dalam kenyataan bertarikh Rabu, pihak pengurusan memaklumkan bahawa mereka mengambil maklum dan memandang serius isu serta dakwaan yang melibatkan artis di bawah pengurusan mereka.
Zarif Ghazzi menerusi kenyataan itu dengan tegas menafikan sebarang dakwaan salah laku yang dikaitkan atau boleh ditafsirkan sebagai merujuk kepadanya, sama ada secara langsung, tidak langsung mahupun melalui sebarang bentuk sindiran.
Menurut pihak pengurusan, Zarif sentiasa berpegang kepada prinsip profesionalisme, integriti dan rasa hormat dalam setiap urusan sepanjang penglibatannya dalam industri seni hiburan.
Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat, manakala wakil peguam turut dilantik bagi mendapatkan nasihat serta meneliti tindakan perundangan yang bersesuaian.
Pihak pengurusan turut menyeru media dan masyarakat supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan reputasi, maruah serta hak individu yang terlibat.
Mereka menegaskan bahawa perkara berkenaan kini diserahkan kepada pihak berkuasa dan saluran perundangan yang sewajarnya.
Justeru, pihak pengurusan memaklumkan tidak akan mengulas lanjut mengenai isu tersebut sepanjang perkara berkenaan masih dalam penelitian.
Dalam masa sama, mereka berharap semua pihak memberikan ruang kepada proses sewajarnya untuk berjalan secara adil dan profesional.
Kenyataan itu turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak atas perhatian dan sokongan yang diberikan kepada Zarif Ghazzi.
Kredit Foto: Berita harian
