KUALA LUMPUR, 26 Oktober 2026 – Perbelanjaan Program Jalan Luar Bandar (JALB) bagi tempoh 2023 hingga 2025 berjumlah RM6.108 bilion, masih di bawah peruntukan dipinda sebanyak RM6.143 bilion, dengan baki kira-kira RM34.3 juta.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dakwaan bahawa kementeriannya terlebih belanja sebanyak RM2.1 bilion timbul apabila perbelanjaan sebenar dibandingkan dengan peruntukan asal tanpa mengambil kira penyelarasan peruntukan yang telah diluluskan.

Beliau menjelaskan bahawa peruntukan asal JALB bagi tempoh berkenaan berjumlah kira-kira RM3.982 bilion sebelum meningkat kepada RM6.143 bilion selepas penyelarasan.

Menurutnya, perbezaan berbanding peruntukan asal itu tidak boleh dianggap sebagai bukti berlakunya kehilangan wang, ketirisan atau penyelewengan tanpa mengambil kira keseluruhan kedudukan kewangan program.

415 projek jalan luar bandar sedang dilaksanakan

Ahmad Zahid berkata, setakat 30 September 2026, JALB melibatkan 415 projek pada pelbagai peringkat pelaksanaan dengan kos keseluruhan kira-kira RM34.23 bilion.

Beliau menjelaskan bahawa jumlah tersebut merupakan kos keseluruhan projek yang dilaksanakan merentas beberapa tahun, bukannya jumlah yang perlu dibayar dalam satu tahun kewangan.

Bagi 2026, perbelanjaan JALB sehingga 30 September berjumlah kira-kira RM2.48 bilion daripada peruntukan dipinda sebanyak RM3.02 bilion, bersamaan 82.1 peratus.

Katanya, projek jalan luar bandar lazimnya mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan. Oleh itu, pembayaran dibuat secara berperingkat berdasarkan kemajuan kerja serta tuntutan yang telah disahkan oleh agensi pelaksana.

Penyelarasan peruntukan perlu melalui prosedur

Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa pertambahan keperluan peruntukan tidak bermakna kementerian boleh membuat pembayaran sewenang-wenangnya tanpa mematuhi prosedur kerajaan.

Menurut beliau, setiap penyelarasan perlu melalui mekanisme Notice of Change (NOC) serta proses pindahan peruntukan mengikut jenis perubahan dan kelulusan yang diperlukan.

Proses berkenaan melibatkan Pegawai Pengawal Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan serta Jabatan Akauntan Negara Malaysia mengikut bidang kuasa masing-masing. Kelulusan dan pelarasan turut direkodkan melalui sistem kerajaan termasuk MyProjek dan iGFMAS.

Beliau berkata pembayaran hanya diproses selepas peruntukan disalurkan dan tersedia, berdasarkan tuntutan serta pengesahan kerja oleh agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Penjelasan itu disampaikan ketika beliau menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) Peringkat Dasar bagi KKDW di Dewan Rakyat.

Ahmad Zahid berharap kedudukan kewangan JALB dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira peruntukan asal, peruntukan dipinda, perbelanjaan sebenar dan komitmen kontrak supaya pelaksanaan projek jalan luar bandar dapat difahami berdasarkan fakta.

Sumber: Bernama, 26 Oktober 2026
Foto: Berita RTM