KUALA LUMPUR, 28 Oktober 2026 – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan semua projek pembangunan sekolah yang diluluskan kerajaan akan dilaksanakan dan disiapkan bagi memastikan kemudahan pendidikan yang selamat, kondusif dan berkualiti dapat dinikmati murid di seluruh negara.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata projek yang terpaksa dibatalkan atas faktor tertentu seperti masalah tanah dan peningkatan kos akan dikemukakan semula untuk mendapatkan kelulusan baharu.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) peringkat dasar bagi KPM di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, komitmen itu merangkumi semua sekolah, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman yang memerlukan kemudahan serta prasarana pendidikan lebih baik.
131 projek sekolah baharu dan gantian diluluskan
Bagi tempoh 2023 hingga 2027, sebanyak 131 projek pembinaan sekolah baharu dan sekolah gantian diluluskan dengan kos keseluruhan melebihi RM14.789 bilion.
Daripada jumlah itu, sembilan projek diluluskan pada 2023, diikuti 26 projek pada 2024, 44 projek pada 2025, 38 projek pada 2026 dan 14 projek pada 2027.
Dalam masa sama, sebanyak 292 projek pembangunan semula bangunan sekolah daif di Sabah dan Sarawak diluluskan sejak 2023 dengan nilai RM10.29 bilion.
Fadhlina berkata jumlah itu bersamaan 80 peratus daripada keseluruhan peruntukan yang ditumpukan kepada kedua-dua negeri berkenaan.
159 projek bilik darjah tambahan siap
KPM turut menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi mempercepat pembinaan sekolah dan bilik darjah tambahan, selain membantu mengurangkan kos serta sisa binaan.
Daripada 777 projek pembinaan bilik darjah tambahan berasaskan IBS yang dilaksanakan tahun ini, sebanyak 159 projek telah siap dan diserahkan kepada KPM. Baki projek pula sedang dipantau untuk disiapkan menjelang Disember ini supaya kemudahan berkenaan dapat digunakan pada sesi persekolahan berikutnya.
Selain itu, pendekatan ubah suai dan naik taraf secara bersasar turut dilaksanakan sejak 2024 bagi mempercepat penambahbaikan kemudahan sekolah.
Inisiatif itu melibatkan 50 sekolah dengan kos RM15 juta pada 2024, meningkat kepada 309 sekolah dengan peruntukan RM135 juta pada 2025, sebelum diteruskan kepada 118 sekolah dengan peruntukan RM50 juta pada 2026.
Peningkatan laporan kes buli turut diberi perhatian
Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina berkata sebanyak 5,681 kes salah laku buli direkodkan dari Januari hingga Ogos tahun ini.
Menurutnya, peningkatan itu mencerminkan kesedaran serta keberanian mangsa, saksi dan pentadbiran sekolah untuk membuat laporan, sekali gus mengelakkan kes disembunyikan demi menjaga nama baik sekolah.
Beliau turut mengaitkan perubahan corak pelaporan dengan pewartaan dan penguatkuasaan Akta Antibuli 2026, dengan siasatan, laporan serta tindakan tatatertib dilaksanakan berdasarkan peraturan sedia ada.
Sumber: Bernama, 28 Oktober 2026
Foto: Berita RTM
