KUALA LUMPUR, 28 Oktober 2026 – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan mengemukakan cadangan penyediaan pelan tindakan khusus berkaitan kemarau kepada Majlis Pengurusan Bencana Negara bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi risiko bencana itu.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata cadangan itu bertujuan memastikan pengurusan bencana negara turut merangkumi pelan tindakan banjir dan kemarau, selain Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan yang sedia ada.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) peringkat dasar bagi NRES di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Arthur, berdasarkan unjuran semasa, fenomena El Niño yang berada pada tahap kuat dijangka meningkat kepada kategori sangat kuat antara November 2026 hingga Januari 2027, dan berpotensi berterusan sehingga Mei 2027.
Suhu berpotensi mencecah 40 darjah Celsius
Fenomena itu berpotensi menyebabkan keadaan cuaca lebih kering dan panas melampau antara Januari hingga Mei 2027, dengan suhu maksimum berkemungkinan mencecah 40 darjah Celsius.
Kawasan yang berpotensi terjejas termasuk bahagian utara dan pedalaman Semenanjung Malaysia serta beberapa kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Arthur turut memaklumkan pengurangan taburan hujan dijangka berlaku, khususnya antara Januari hingga Mac 2027, dengan kesan yang berpotensi lebih ketara di utara Semenanjung dan Sabah.
Sehubungan itu, cadangan pelan tindakan kemarau akan dibawa untuk pertimbangan pihak berkaitan bagi memperkukuh penyelarasan dan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan keadaan cuaca ekstrem.
Cukai karbon dilaksana secara berperingkat
Dalam perkembangan lain, Arthur berkata pelaksanaan cukai karbon perlu dilakukan secara cermat dan berperingkat selepas Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara serta Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Perubahan Iklim diluluskan dan diwartakan, serta kerangka pelaksanaannya beroperasi dengan berkesan.
Beliau berkata kesiapsiagaan industri perlu diambil kira bagi memastikan peralihan kepada ekonomi rendah karbon tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.
NRES juga terus memberikan kerjasama dan input teknikal kepada Kementerian Kewangan berhubung instrumen penetapan harga karbon supaya selaras dengan dasar serta komitmen perubahan iklim negara.
Kerajaan teliti isu pampasan jerebu rentas sempadan
Mengenai jerebu rentas sempadan, Arthur berkata Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) ketika ini tidak memperuntukkan mekanisme khusus bagi tuntutan pampasan antara negara.
Bagaimanapun, kerajaan terbuka meneliti mekanisme perundangan lain yang bersesuaian, tertakluk kepada asas undang-undang antarabangsa.
Kajian mengenai kerugian ekonomi akibat jerebu, termasuk kesan terhadap kesihatan awam, produktiviti dan aktiviti ekonomi, turut dilihat penting sebagai asas pertimbangan dasar.
Cadangan bantuan kewangan kepada rakyat terjejas, khususnya pekerja sektor gig, serta penubuhan tabung bencana jerebu juga memerlukan penelitian lanjut bersama kementerian dan agensi berkaitan.
Sumber: Bernama, 28 Oktober 2026
Foto: Astro Awani
