KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2026 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempergiat usaha mengatasi kesesakan di hospital kerajaan dengan memperkukuh pengurusan katil, memperluas perkhidmatan rawatan dan meneroka pendekatan baharu bagi mempercepatkan kemasukan pesakit ke wad.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, usaha itu menunjukkan perkembangan positif apabila 28 daripada 39 hospital utama negara, bersamaan 71.8 peratus, mencatatkan purata tempoh menunggu katil kurang daripada lapan jam setakat Jun 2026.
Pencapaian itu meningkat berbanding 55.26 peratus pada 2025, sekali gus menunjukkan penambahbaikan dalam pengurusan kemasukan pesakit dari Jabatan Kecemasan ke wad.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Pelbagai inisiatif kurangkan kesesakan hospital
Menurut Dzulkefly, sebanyak 94 daripada 103 hospital Jenis 3 dan 4, iaitu hospital pakar minor serta hospital tanpa pakar, turut mencatatkan purata tempoh menunggu katil kurang daripada empat jam.
Bagi mengurangkan beban hospital utama, KKM melaksanakan Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital (HSOP) sejak 2024 yang merangkumi 14 perkhidmatan, antaranya nefrologi dan kardiologi.
Program itu telah memberi manfaat kepada lebih 50,000 pesakit di 75 hospital KKM yang terlibat.
Selain itu, kementerian memperkukuh pendekatan Lean Healthcare, menubuhkan Unit Pengurusan Katil (BDU), memperluas perkhidmatan rawatan harian serta melaksanakan pendekatan hospital kluster bagi meningkatkan kecekapan pengurusan pesakit.
Konsep hospital alternatif turut diteroka
Dalam usaha mencari penyelesaian jangka panjang, KKM turut meneroka projek perintis konsep cottage hospital dan pendekatan step down bagi mengurangkan kepadatan pesakit di hospital besar.
Dzulkefly menjelaskan, melalui pendekatan step down, pesakit yang telah disahkan stabil boleh dipindahkan ke hospital daerah yang bersesuaian tanpa menjejaskan mutu penjagaan.
Konsep cottage hospital pula sedang diteliti, khususnya bagi kawasan pedalaman di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Klinik yang mempunyai keupayaan serta permintaan bersesuaian berpotensi dinaik taraf untuk menyediakan perkhidmatan pesakit dalam.
KKM juga sedang meneliti Pengurusan Penjagaan Klinikal Bersepadu dan pelaksanaan prosedur pembedahan tertentu di hospital tanpa pakar, tertakluk pada kesesuaian serta keupayaan fasiliti.
Usaha ini bertujuan mempercepatkan akses kepada rawatan, memperkemas aliran pesakit dan mengurangkan tekanan terhadap hospital utama supaya perkhidmatan kesihatan awam dapat diberikan dengan lebih cekap.
Sumber: Bernama, 27 Oktober 2026
Foto: Berita Harian
