SHAH ALAM, 27 Oktober 2026 – Peningkatan bantuan kewangan dan peluasan kemudahan pendidikan serta penjagaan menerusi Belanjawan 2027 dijangka membantu meringankan beban keluarga Orang Kurang Upaya (OKU), khususnya yang menanggung kos rawatan, peralatan perubatan dan pendidikan anak berkeperluan khas.

Presiden Majlis Belia OKU Malaysia, Muhammad Ghazali Othman berkata, kenaikan Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas daripada RM150 kepada RM200 sebulan memberi manfaat kepada 150,000 murid, termasuk kanak-kanak autistik.

Menurut beliau, peningkatan itu dapat membantu ibu bapa menampung keperluan pendidikan dan penjagaan anak, selain memastikan murid berkeperluan khas mendapat sokongan sewajarnya sejak di bangku sekolah.

Beliau turut menggalakkan ibu bapa mendaftarkan anak OKU dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya mereka dapat mengakses bantuan dan kemudahan yang disediakan.

Bantuan dipertingkat untuk OKU bekerja dan pesakit terlantar

Pensyarah Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Aizan Sofia Amin berkata, peningkatan ambang pendapatan bagi melayakkan seseorang menerima Elaun Pekerja OKU daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berpotensi membantu golongan berkenaan menghadapi peningkatan kos sara hidup.

Langkah itu juga boleh menggalakkan lebih ramai OKU bekerja dan berdikari, selain membantu menampung perbelanjaan tambahan seperti rawatan serta peralatan perubatan.

Sementara itu, Naib Presiden merangkap Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti Universiti Selangor, Profesor Madya Dr Hamdan Mohd Salleh berkata, peningkatan bantuan penjagaan OKU terlantar dan pesakit kronik daripada RM500 kepada RM600 sebulan dapat meringankan tanggungan penjaga.

Beliau berkata, penjagaan pesakit terlantar memerlukan perbelanjaan tinggi, termasuk untuk peralatan dan keperluan perubatan.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari pula berkata, peningkatan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 berpotensi membantu pembayar cukai yang menanggung kos penjagaan ahli keluarga OKU.

RM1.5 bilion untuk kebajikan lebih 300,000 individu

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu mengumumkan peningkatan peruntukan keseluruhan bantuan OKU kepada RM1.5 bilion bagi memanfaatkan lebih 300,000 individu.

Selain bantuan kewangan, kerajaan merancang membina dua Pusat PERMATA Kurnia di Melaka dan Pahang serta membuka lebih 130 kelas Tabika Tunas Istimewa baharu di kawasan desa.

Sebanyak 15 premis Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) turut dirancang untuk dinaik taraf menjadi Pusat Terapi Khusus bagi memperluas akses kepada perkhidmatan pendidikan, intervensi dan terapi.

Pelbagai inisiatif ini mencerminkan usaha memperkukuh sokongan kepada komuniti OKU, bukan sahaja melalui bantuan kewangan, malah menerusi kemudahan yang dapat membantu mereka menjalani kehidupan lebih berdikari dan sejahtera.

Sumber: Bernama, 27 Oktober 2026
Foto: Berita RTM